Sebenarnya, konsep produktiviti kerja dalam perspektif ekonomi Islam secara lebih mendalam disabdakan Rasulullah sebagai berikut: Barang siapa yang hari ini lebih baik daripada semalam, ia beruntung; dan barang siapa yang hari ini sama dengan semalam, dia merugi; dan barang siapa yang hari ini lebih buruk dari semalam, ia celaka.
Apabila kita hubung kaitkan hadis ini dengan keadaan umat Islam sekarang, maka tidak sedikit umat Islam yang tergolong ke dalam golongan orang yang merugi dan bahkan celaka, sebaliknya sangat sedikit di antara mereka yang tergolong ke dalam golongan yang beruntung (produktif). Fakta ini merupakan salah satu penyebab utama kenapa umat Islam sentiasa terbelakang dan hidup di bawah telunjuk ekonomi asing.
Oleh itu, salah satu tujuan Allah s.w.t. mewajibkan berpuasa Ramadan adalah untuk membimbing umat-Nya agar lebih produktif dan tidak celaka sehingga akan mengeluarkan mereka daripada pengaruh dan dominasi ekonomi negara-negara kapitalis. Itulah sebabnya produktiviti kerja dipandang sebagai salah satu amalan yang mesti dimiliki umat Islam. Produktiviti yang tinggi selalu mendorong pembaikan cara kerja, disiplin, dan pengkhususan kerja.
Shahnawaz (1996) dalam tulisannya Quality of Working Life, berhujah bahawa produktiviti akan selalu disertai dengan pelbagai penemuan teknologi dan jenis perniagaan baru. Bahkan al-Jammal (1992) dalam bukunya Ensiklopedia Ekonomi Islam dengan mengutip kata-kata Ibn Khaldun menyebutkan: bahawa faktor pembeza antara masyarakat bertamadun atau tidak, bukanlah terletak pada pembahagian kerja, tetapi terletak pada peningkatan (produktiviti) pekerjaan …masyarakat bertamadun merasa tidak cukup dengan adanya pelbagai jenis pekerjaan antara mereka, sehingga mereka merasa perlu mewujudkan pelbagai bentuk peningkatan (produktiviti) pekerjaan yang berbeza-beza di antara mereka.”
Ertinya, untuk mewujudkan masyarakat bertamadun, kita harus selalu meningkatkan produktiviti kerja dan karya. Dengan hadirnya Ramadan, diharap kita mampu mengambil natijah untuk sentiasa produktif melakukan pelbagai usaha demi menuju keredaan Ilahi, dunia dan akhirat.
Selanjutnya, amar Islam untuk menggunakan sumber alam dan kekuatan tenaga secara optimum dan intensif untuk kepentingan umat adalah merupakan galakan Islam agar umatnya sentiasa bekerja secara produktif.
Firman Allah: Bertebaranlah kamu di muka bumi dan carilah apa-apa yang kamu hajati daripada limpah kurnia Allah s.w.t sebanyak-banyaknya (dalam segala keadaan) supaya kamu berjaya (di dunia dan akhirat). (al-Jum'ah: 10) Secara eksplisit menegaskan bahawa umat Islam harus menggunakan seluruh potensi dan kemampuannya dalam meneroka dan menggali rahmat Tuhan di muka bumi ini.
Proses pencarian rahmat Allah s.w.t. ini, dalam istilah ilmiah disebut dengan penyelidikan dan pembangunan (R&D). al-Faridi (1993) dalam bukunya, Aspects of Islamic Economics and the Economy of Indian Muslim menyebut, R&D ini adalah suatu amalan yang sangat digalakkan Islam. Selain akan mendorong dinamisme, R&D juga akan meningkatkan inisiatif dan motivasi umat Islam agar sentiasa berjuang demi kemajuan dan kesejahteraan ekonomi umat.
Untuk mewujudkan kesejahteraan, kita harus menggunakan hasil eksplorasi rahmat Tuhan melalui proses R&D secara intensif dan seefisien mungkin. Dalam artikelnya Islam: The Islamic Worldview and Islamic Economics, Mohamed Aslam (1997) berhujah, …penggunaan sumber alam secara intensif adalah bagaimana menggunakannya secara efisien dan tidak membazir. Alam semesta adalah rahmat Tuhan yang harus dipergunakan dengan sebaik-baik cara. Agar penggunaan sumber alam dapat dilakukan secara intensif, maka dalam mengeksplorasi rahmat Ilahi umat Islam harus melakukan kajian ilmiah dengan tujuan untuk mencari cara-cara kerja atau teknologi baru yang lebih efektif dan efisien dengan meningkatkan keahlian dan inovasi mereka.
Umat Islam tidak perlu ragu-ragu dan takut berbuat salah untuk melakukan inovasi baru. Islam tidak pernah menghukum umatnya yang berbuat salah dalam berinovasi (ijtihad) untuk kebajikan umat. Rasulullah bersabda: Ketika seseorang melakukan ijtihad dan hasilnya benar, dia akan mendapat dua pahala, tetapi jika salah dia masih mendapat satu pahala. (Riwayat Abu Daud).
Dalam melakukan kajian ilmiah untuk menciptakan teknologi baru sehingga dapat digunakan bagi meningkatkan produktiviti kerja, ada dua modal utama harus dimiliki umat Islam iaitu inovasi teknikal dan inovasi spiritual.
Inovasi teknikal muncul melalui penguasaan ilmu pengetahuan, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Tanpa penguasaan ilmu pengetahuan, semua usaha untuk menemukan dan menjalankan mesin-mesin teknologi baru akan sia-sia belaka (ar-Rahman: 33). Dengan penguasaan ilmu, kita akan mampu memanfaatkan kemudahan dan saranan yang telah Allah limpahkan sama ada yang bersumber dari langit, bumi mahupun lautan.
Sementara itu, inovasi spiritual akan wujud melalui proses peningkatan ketakwaan kepada Allah, yang juga merupakan matlamat akhir berpuasa di bulan Ramadan (al-Baqarah: 183). Gelaran Muttaqien itu sangat mudah diperolehi dengan berpuasa di bulan Ramadan. Muttaqien akan memiliki ketenangan batin, ketenteraman hati, kelapangan dada, perasaan optimistik, dan rasa aman serta semangat cinta dan kesucian terhadap sang Khaliq. Selanjutnya, kombinasi antara ilmu dan takwa akan memudahkan umat Islam untuk mengoperasikan mesin-mesin teknologi dengan penuh tanggung jawab dan amanah. Sifat ini, tentunya, akan meningkatkan produktiviti kerja, sebab individu yang mencintai Allah, pasti akan mentaati segala amar-Nya. Sebaliknya, manusia yang tidak bertakwa, hidupnya akan gelisah, terlantar, kecewa, putus asa, dengki, iri-hati dan pemarah sehingga semua sifat tercela ini akan menyebabkan mereka sukar melakukan pekerjaan dengan penuh khusyuk dan tawaduk. Singkatnya, ketakwaan merupakan modal utama bagi peningkatan produktiviti kerja dan karya yang pada gilirannya, akan mensejahterakan ekonomi umat.
Pendek kata, usaha untuk meningkatkan produktiviti akan wujud melalui kombinasi penguasaan ilmu pengetahuan (inovasi teknikal) dengan ketakwaan (inovasi spiritual) kepada Allah. Kurangnya pemahaman dan penguasaan ilmu pengetahuan sama ada ilmu duniawi mahupun ilmu ukhrawi serta rendahnya kadar ketakwaan umat Islam, boleh jadi akibat tidak menjalankan ibadat puasa dengan baik dan sempurna, seringkali menyebabkan usaha-usaha untuk meningkatkan kesejahteraan ekonomi umat menemui kegagalan.
Kehadiran Ramadan akan memotivasi umat Islam untuk sentiasa produktif sepanjang hayat. Akhirnya dengan memiliki produktiviti yang tinggi, martabat ekonomi umat Islam akan terangkat.
- DR. Muhammad Shabri Abd. Majid ialah Penolong Profesor, Jabatan Ekonomi, Kulliyyah Ekonomi dan Sains Pengurusan, UIAM.
Post a Comment