Ramadan mengajar hidup produktif Oleh DR. Muhammad Shabri Abd. Majid
Bonus-bonus Allah s.w.t. yang terkandung di bulan Ramadan, seperti penggandaan pahala, penghapusan dosa-dosa masa silam dan jaminan masuk syurga bagi para shaimun (umat Islam yang berpuasa) memotivasi umat Islam untuk mengoptimumkan amalan ibadat mereka di bulan mega bonus, Ramadan ini.
Dengan lain perkataan, semua bonus yang terkandung di dalam bulan mulia ini akan meningkatkan produktiviti umat Islam sama ada dalam beribadat mahupun dalam berusaha dan berkarya.
Inilah, implikasi, fadilat atau hikmah penting lainnya yang terkandung dalam Ramadan dilihat dari perspektif ekonomi Islam. Sejauh mana Ramadan berkolaborasi dengan produktiviti kerja umat Islam? Apakah larangan untuk makan, minum, berhubungan seks, dan melakukan pelbagai perkara yang dapat membatalkan ibadat puasa akan melemahkan semangat umat Islam untuk bekerja dan berkarya lebih produktif lagi? Tulisan ini difokuskan untuk menganalisis sejauhmana hikmah, fadilat, sumbangan dan implikasi Ramadan terhadap peningkatan produktiviti umat Islam ditinjau dari kaca mata ekonomi Islam.
Untuk mengetahui hikmah, fadilat, sumbangan dan implikasi Ramadan terhadap produktiviti kerja umat Islam, hal pertama yang patut diketahui adalah definisi konsep produktiviti itu sendiri.
Ilmu ekonomi konvensional, secara umum, mendefinisikan produktiviti sebagai perbandingan nisbah antara input dan output dalam sebuah proses pengeluaran. Apabila penggunaan input yang terhad mampu menghasilkan jumlah output dalam kuantiti (bukan kualiti) yang banyak, maka proses pengeluaran tersebut digolongkan produktif. Ertinya, produktiviti ini digunakan untuk mengukur kemampuan atau efisiensi dari input yang digunakan, untuk menghasilkan output dalam sebuah proses pengeluaran.
Dalam proses pengeluaran, input itu biasanya terdiri daripada buruh, bahan mentah, tanah, modal, dan keusahawanan, sedangkan output adalah barang atau perkhidmatan tertentu yang dihasilkan.
Selanjutnya, bila kita hubungkan konsep produktiviti dengan kewajipan berpuasa di bulan Ramadan, maka tidaklah salah kita berkesimpulan bahawa Ramadan merupakan bulan produktiviti umat Islam. Sebab jika kita merujuk pada input yang kita gunakan di bulan Ramadan, iaitu makan sahur, makanan dan minuman ketika berbuka puasa yang jumlahnya relatif sedikit atau terhad berbanding dengan bulan-bulan biasa, namun umat Islam mampu menghasilkan kuantiti pahala (output) yang berlipat ganda.
Begitu juga dengan kegiatan ibadat umat Islam di bulan mulia itu, dengan melakukan ibadat yang sama dengan bulan lainnya. Contohnya solat sunat, bertadarus dan bersedekah, umat Islam akan diganjarkan Allah dengan pahala yang berlipat ganda. Ganjaran pahala yang luar biasa ini, tentunya akan mendorong umat Islam bekerja dan beribadat lebih produktif di bulan ini.
Setelah melatih dirinya secara intensif untuk lebih produktif dalam meraih pahala selama sebulan penuh di bulan Ramadan, maka kebiasaan ini tidaklah terlalu sukar untuk diaplikasikan secara berterusan di bulan lainnya, setelah Ramadan berlalu. Bila matlamat akhir dari Ramadan, Muttaqien dapat diraih (al-Baqarah: 183), maka produktiviti umat Islam seharusnya sentiasa tinggi sepanjang tahun.
Post a Comment