Siri Tazkiah 01 : Pedoman Akhlak Dalam Rukun Islam
Thursday, February 02, 2006
Rukun Islam yang mengandungi ibadah yang disyariatkan oleh Islam iaitu solat, puasa, zakat dan haji mendidik dan membersih jiwa manusia agar dapat hidup dengan akhlak yang baik.
Dalam perihal solat : " Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar" (al-Ankabut:45). Solat dapat menjauhkan manusia daripada perkara yang tidak baik dan inilah hakikat solat. Sebuah hadis qudsi ada disebut : " Aku hanya menerima solat daripada orang yang merendah diri di hadapan keagungan-Ku, tidak menzalimi makhluk-Ku dan orang yang sentiasa ingat kepada-Ku, mengasihi orang miskin, musafir, janda dan orang-orang yang ditimpa musuh."
Zakat yang diwajibkan oleh Islam bukanlah diambil begitu sahaja dari orang lain melainkan supaya dapat mewujudkan saling cinta-mencintai serta memperkukuhkan hubungan di antara pelbagai lapisan masyarakat. Al-Quran menjelaskan : "Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk)." (at-Taubah: 103) Pembersihan jiwa dari kekotoran serta mengangkat martabat masyarakat ke taraf yang lebih mulia adalah hikmah pertama yang terkandung di dalam wajib zakat. Oleh itu juga, Rasulullah s.a.w. memperluaskan pengertian zakat dengan sabdanya : "Senyum di hadapan saudaramu adalah sedekah, amar makruf dan nahi mungkar yang engkau lakukan adalah sedekah. Engkau menunjukkan jalan kepada orang sesat adalah sedekah. Kesediaanmu menyingkirkan gangguan, duri dan rintangan dari jalanan adalah sedekah. Menuangkan air dari timbamu ke timba saudaramu adalah sedekah. Kesediaanmu menuntun orang yang penglihatannya tidak terang adalah sedakah." (HR Bukhari)
Begitu juga dengan puasa. Bukan sekadar meninggalkan makan dan minum. Tetapi ia sebagai langkah untuk menjauhkan diri daripada melakukan perkara yang tidak baik. Sabda Rasulullah s.a.w. : " Barangsiapa yang tidak meninggalkan ucapan dan perbuatan yang buruk, maka tidak ada erti bagi Allah orang itu meninggalkan makanan dan minumannya." (HR. Bukhari) Ini dijelaskan oleh Allah SWT sebagaimana firman-Nya : "Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa." (al-Baqarah:183)
Allah SWT juga menegaskan dalam al-Quran mengenai manasik haji sebagai berikut : "(Masa untuk mengerjakan ibadah) haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian, sesiapa yang mewajibkan dirinya(dengan niat mengerjakan) ibadah haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri dan tidak boleh membuat maksiat dan tidak boleh bertengkar dalam masa mengerjakan haji. Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sebaik-baik bekal ialah taqwa dan bertaqwalah kepada-Ku wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya) " (al-Baqarah:197)
Jika seseorang tidak mengambil manfaat daripada ibadah-ibadah tersebut dan tidak mengetahui hubungan nya dengan Allah dan dengan sesama manusia, maka sia-sialah dia.
Maksud firman Allah SWT dalam surah Taha :74-76 :-
"Sebenarnya sesiapa yang datang kepada Tuhannya pada hari akhirat sedang ia bersalah maka sesungguhnya adalah baginya neraka jahannam yang ia tidak mati di dalamnya dan tidak pula hidup."
"Dan sesiapa yang datang kepada-Nya sedang ia beriman, serta mengerjakan amal-amal yang soleh, maka mereka itu akan beroleh tempat-tempat tinggal yang tinggi darjatnya."
"(iaitu) syurga-syurga yang kekal, yang mengalir padanya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya dan yang demikian itu ialah balasan orang2 yang MEMBERSIHKAN dirinya daripada perbuatan kufur dan maksiat."
Post a Comment