Binatang yang halal dalam Islam dibahagikan kepada dua kategori, pertamanya, yang susah ditangkap untuk disembelih (seperti rusa dan kijang), dan yang keduanya, yang mudah ditangkap untuk disembelih (lembu dan kambing). Hal ini dijelaskan Allah dalam surah al-Maidah ayat 94 yang bermaksud, "Wahai mereka yang beriman, sesungguhnya Allah mengujimu dengan sesuatu dari binatang buruanmu yang dapat ditangkap oleh tangan-tanganmu dan dengan menggunakan tombak-tombakmu." Daging binatang liar yang halal dimakan menjadi halal selepas ia diburu dengan menggunakan senjata tajam dan ia mati selepas dilukai oleh senjata itu. Berhubung dengan ini Adi ibn Hatim pernah bertanya nabi tentang binatang yang mati selepas terkena golok. Baginda bersabda, "Jika kamu melempar dengan golok dan golok itu menembusi kulitnya (dan melukainya) maka makanlah dagingnya. Jika tidak maka janganlah dimakan dagingnya." Hadis ini diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim.
Sembelihan dalam Islam dilakukan dengan memutuskan saluran pernafasan (trachea) dan penghadaman (oesophagus) haiwan di samping pembuluh darah arteri karotid (carotid arteries) dan saluran darah jugular (jugular veins) di bahagian kiri dan kanan. Yang tidak boleh dipotong ialah saraf tunjang yang terletak di belakang leher haiwan itu. Pemotongan saluran pernafasan dan pembuluh-pembuluh darah ini menyebabkan darah terus melimpah keluar sekali gus menurunkan tekanan darah secara mengejut di samping menjadikan sistem otak terputus dari bekalan oksigen dan glukosa. Keadaan ini menyebabkan haiwan itu terus pingsan tanpa menderita sakit diikuti dengan kelupur beberapa saat selepas itu. Haiwan yang disembelih ini menggelupur disebabkan otaknya telah kehilangan oksigen dan bukannya disebabkan sakit. Walau bagaimanapun jantungnya masih terus mengepam darah disebabkan saraf tunjangnya yang mengawal sistem denyutan jantung masih berada dalam keadaan yang elok kerana ia tidak dipotong ketika penyembelihan dilakukan.
Sebahagian golongan di barat menganggap cara penyembelihan yang dilakukan oleh umat Islam adalah kejam. Justeru mereka mengetengahkan pendekatan baru yang dikenali sebagai stunning sebelum penyembelihan dilakukan ke atas haiwan. Stunning bermaksud haiwan yang akan disembelih dipingsankan terlebih dahulu agar ia tidak berasa sakit ketika penyembelihan dilakukan. Pendekatan seperti ini dianggap sebagai tidak kejam. Benarkah begitu?
Antara cara sembelihan yang dipopularkan di barat ialah menggunakan konsep Captive Bolt Pistol Stunning atau CBP. Mengikut Wikipedia Encyclopedia, CBP menggunakan sejenis pistol yang diisikan dengan peluru dalam bentuk besi pengancing (bolt) yang ditembak di bahagian dahi binatang. Bagi binatang biasa peluru besi pengancing ini ditembak pada kelajuan 55 meter./ saat dan bagi binatang yang besar 75 meter / saat. Terdapat dua jenis besi pengancing yang sering digunakan sebagai peluru. Pertamanya besi pengancing yang merosakkan bahagian utama otak iaitu bahagian serebrum dan serebelum dan yang keduanya besi yang sekadar memberikan gegaran kuat kepada otak. Selepas ditembak peluru akan memasuki semula ke dalam pistol. Kedua-dua pendekatan ini menyebabkan binatang sembelihan jatuh pingsan supaya selepas itu sembelihan dapat dilakukan ke atasnya tanpa binatang itu menderita sakit.
Di samping C.B.P., sebahagian haiwan dipingsankan dengan mengenakan kejutan elektrik ke dalam otak melalui alat tertentu yang dipasang di kiri kanan kepala haiwan. Sesetengah haiwan pula, seperti itik, ayam dan angsa, dipingsankan melalui kejutan elektrik dalam tangki air (electric waterbath). Untuk tujuan ini, mengikut laporan yang dibuat oleh FAWC pada tahun 1982, haiwan-haiwan ini digantung melalui kakinya dan kemudiannya kepalanya dicelup ke dalam air untuk menerima kejutan elektrik.
Benarkah pendekatan barat dengan stunning tidak menzalimi binatang? Mengikut Rebecca Smith dalam artikel Sentenced to Death yang dilaporkan dalam laman web rasmi Viva (Vegetarians International Voice for Animals) di viva.org.uk, setiap tahun 900 juta binatang ternakan disembelih untuk dimakan di UK. Beliau menjelaskan, undang-undang UK menuntut agar setiap haiwan dipingsankan terlebih dahulu sebelum sembelihan dilakukan. Tujuannya ialah agar setiap haiwan tidak berasa sakit ketika sembelihan dilakukan. Namun, kata Rebecca Smith, "kami telah menganalisi kajian-kajian saintifik yang terkini serta mendapat pendapat pelbagai pakar berhubung perkara ini dan kami mendapati apa yang sebenarnya berlaku amat membimbangkan. Sebenarnya, pendekatan yang dilakukan adalah tidak efektif menyebabkan puluhan juta haiwan berada dalam keadaan sedar ketika sembelihan dilakukan. Setiap tahun lebih kurang 1.8 juta khinzir dan 5 juta kambing biri-biri yang dipingsankan melalui kejutan elektrik sedar semula ketika penyembelihan dilakukan. Tambahan dari itu terdapat kajian yang menunjukkan penggunaan kejutan elektrik memang tidak berkesan untuk menyebabkan haiwan pingsan. Mengikut seorang pakar, Dr Harold Hillman, haiwan sebenarnya berasa sakit ketika kejutan elektrik dikenakan dan baginya ini merupakan satu bentuk penyeksaan. Berhubung dengan penggunaan pistol berpeluru seperti pengancing besi (captive bolt pistol), setiap tahun penggunaan teknik yang salah menyebabkan 230,000 kambing terpaksa menanggung kesakitan selepas tembakan dilakukan di kepala. Kadangkala tembakan yang kedua terpaksa dilakukan disebabkan tembakan yang pertama gagal menyebabkan kambing-kambing itu pingsan. Kajian juga menunjukkan penggunaan kejutan elektrik melalui tangki air (electric waterbath) ke atas itik, ayam, turkeys, geese juga tidak mencapai matlamat yang dikehendaki. Lebih kurang 62 juta daripada binatang ternakan ini sedar semula ketika penyembelihan dilakukan."
(Untuk perincian tentang tajuk ini bacalah dalam Majalah i terbitan Karangkraf bulan Februari, 2006) Nukilan Dr Danial Zainal Abidin (M.B.Ch.B. Alexandria) Pengarah Urusan Danial Zainal Consultancy & Motivator Radio Mutiara FM Mantan YDP JIM Pulau Pinang 1993-1999
UNTUK MEMBACA IDEA-IDEA DR DANIAL DAPATKAN BUKU-BUKU BELIAU IAITU: a.. Buku 'Bahan Berdakwah Untuk Remaja Moden.' b.. Buku 'Kit Kombat Islam.' c.. Buku 'Perubatan Islam dan Bukti Sains Moden.' d.. Buku 'Bukti-bukti Sains dan Sejarah Kerasulan Muhammad.' e.. Buku 'Empayar Minda Muslim.' f.. Buku '7 Formula Individu Cemerlang.' g.. Buku Tip-Tip Cemerlang Daripada Quran.' |
Post a Comment