Pada dasarnya, kewajipan berdakwah dituntut ke atas setiap orang yang mukalaf lagi berdaya. Syarat berdaya atau mampu perlu difahami dengan betul. Pada hakikatnya, Islam mengakui tahap-tahap kemampuan seseorang individu itu berbeza daripada individu lain. Rasulullah s.a.w. bersabda dengan maksud, "Barangsiapa di antara kamu melihat kemungkaran, maka hendaklah dicegah dengan tangannya. Jika tidak berdaya, hendaklah dicegah dengan kata-katanya, dan jika tidak berdaya, hendaklah dicegah dengan hatinya, dan mencegah dengan hati adalah tanda selemah-lemah iman." (riwayat Muslim)
Apabila mencegah kemungkaran, kadar minima yang dituntut ialah mengingkari dengan hati. Perkara ini disentuh dalam kitab Dalil Falihin. "Mencegah dengan hati bermaksud membenci kemungkaran dengan hati, disertai dengan azam untuk mencegahnya dengan lisan ataupun dengan perbuatan apabila dia mampu nanti. Membenci maksiat dengan hati hukumnya ialah wajib ke atas setiap individu, dan sesiapa yang menyetujui kemungkaran bererti dia bersekongkol dengannya."
Iman memerlukan bukti, dan salah satu di antara bukti-buktinya ialah membenci maksiat. Tanpanya, iman berkecai di hati. Rasulullah s.a.w. bersabda dengan maksud, " Tidak ada selepas itu iman, walaupun sebesar biji sawi." (riwayat Bukhari dan Muslim) Hati yang tidak mengingkari kemungkaran boleh membawa kepada kebinasaan. Sahabat Rasulullah s.a.w. yang bernama Abdullah bin Mas'ud menegaskan, "Binasalah orang yang tidak membezakan yang makruf dengan yang mungkar, dengan hatinya."
(dipetik dari buku "Kombat Kit Islam Untuk Remaja", Dr Danial Zainal Abdin, PTS Publications & Distributors Sdn Bhd, 2002)
Post a Comment