Semasa mengendalikan program sebilangan remaja terpilih daripada sebuah sekolah menengah di Paka sekitar bulan Ogos 2005 yang lalu, kita mendapati rata-rata pelajar yang mempunyai masalah disiplin tersebut tidak melaksanakan solat lima waktu atau lalai daripada kewajipan solat. Banyak sebab kenapa ini boleh berlaku kalau dikaji dengan teliti dan diselami hati nurani para remaja ini. Antara lain ialah pengabaian latihan solat oleh ibu bapa sejak dari kecil, hilang kasih sayang serta bimbingan ibu bapa, tidak tahu membaca atau mahir membaca al-Fatihah (apatah lagi surah2 yang lain) dan suasana kehidupan seharian yang melalaikan dan merosakkan akhlak remaja.
Bagaimana boleh hilang kekuatan solat ini daripada diri remaja Muslim hari ini? Sedangkan kita tahu solat adalah ibarat kepala kepada tubuh manusia. Solat adalah tiang, tunjang, rukun dan lambang Islam yang kekal abadi. Solat juga adalah penyeri hidup, penenang jiwa, penghibur hati, penghubung antara hamba dengan Tuhan, pelantar untuk ruh kekasih naik ke tingkat tertinggi menikmati belaian Ilahi dan bergembira di taman suci. Solat menggabungkan kebahagian dua alam iaitu alam ghaib dan alam nyata. Solat seolah cahaya yang bersinar di dalam jiwa yang menghayatinya. Solat akan terasa indah bagi sesiapa yang menikmatinya. Apalagi solat di saat semua mata sedang tidur dan tenang berada di pembaringan, berdoa di tengah malam kerana takutkan akhirat dan mengharapkan rahmat Tuhannya.
Cara terbaik untuk mensucikan jiwa manusia ialah dengan solat-solat yang khusyuk. Solat yang dapat menggilap hati. Solat yang dapat membuang segala noda dosa dan membersihkan segala kekotoran hati. Solat yang dapat mengurniakan cahaya iman ke dalam hati. Solat yang dapat melegakan dada dengan kedinginan taqwa.
Marilah kita menjadi umat yang memahami nilai yang ada di sebalik solat iaitu golongan yang berusaha bersungguh-sungguh mencapainya dan cuba melakukannya dengan sempurna. Solat dengan khusyuk, memberi perhatian, tenang, berfikir dan apabila selesai solat langsung mendapat kemanisan solat. Dengan solat, mereka merasai nilai ketaatan. Sebuah hadis menyebut :
" Orang yang solat pada waktunya, dia menjaga wuduknya serta melakukannya dengan sempurna dalam rukuk, sujud dan khusyuknya, solat ini akan naik ke langit dalam bentuk cahaya putih yang terang benderang dan ia akan berkata : Semoga Allah memeliharamu sepertimana engkau memeliharaku. Orang yang solat di luar waktunya dan tidak menjaga wuduknya serta tidak melakukannya dengan sempurna dalam rukuk, sujud dan khusyuknya, solat itu naik dalam bentuk cahaya hitam pekat dan akan berkata : Semoga Allah mengabaikanmu sebagaimana engkau mengabaikanku. Apabila ia berada di tempat yang dikehendaki Allah, solat itu akan dilipat seperti baju kusam lalu ianya digunakan untuk memukul muka pelakunya." (hadis Anas diriwayatkan oleh al-Tabarani dalam al-Awsat. Al-Tayalisi dan al-Baihaqi meriwayatkannya dalam al-Sya'ab daripada Ubadah bin al-Somit)
Marilah kita memenuhi dada kita dengan kekuatan solat ini. Marilah kita kembali memenuhi masjid-masjid Allah sebagaimana kita telah memenuhinya sebulan Ramadhan. Marilah kita sama-sama menyedari yang kitalah yang sebenarnya memerlukan Allah dan bukan sebaliknya. Cuti persekolahan yang panjang ini harus para remaja memanfaatkannya untuk terus melakukan solat dengan baik untuk memperbaharui diri dan membersihkan jiwa.
Post a Comment